Sunday, 25 November 2012

Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi

Dato Ahmad Rodzi menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Anak Yatim semasa lawatan bersama isteri Datin Zarina 15 Januari 2013.Beliau antara penyumbang utama Rayas.

Riwayat: Bukhari dan Muslim daripada Anas RA katanya, Abu Thalhah RA ialah orang Ansar yang paling banyak harta daripada kebun-kebun tamar yang luas. Harta yang paling disukainya ialah kebun tamar Bir Ha’ yang menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW pernah masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sedap. Anas berkata, apabila turun ayat yang bermasud,

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi”.

Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman yang maksudnya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesungguhnya aku sangat sayang kepada kebun tamar Bir Ha’ itu dan aku jadikannya sebagai sedekah pada jalan Allah agar aku mendapat kebaikan (yang dijanjikan Allah) dan sebagai bekalan akhirat disisi Allah SWT. Oleh itu, engkau gunakanlah harta itu mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu”.

Maka jawab Rasulullah SAW, “Ah, harta itu sangat menguntungkan, harta itu sangat menguntungkan, sesungguhnya aku dengar apa yang telah engkau katakan dan aku berpendapat engkau agihkan harta itu kepada kaum kerabat engkau”. Maka Abu Thalhah berkata, “Aku akan lakukan (seperti yang engkau suruh) wahai Rasulullah SAW”. Lalu Abu Thalhah membahagikan harta tersebut kepada kaum keluarga dan sepupunya”.


Huraian Hadith:
Ganjaran yang sempurna ialah dengan membelanjakan harta yang paling baik dan paling disayangi. Pemberian kepada kaum keluarga juga adalah dikira sebagai sedekah. Hadis ini menunjukkan kelebihan para sahabat R.hum antaranya Abu Thalhah yang segera menyahut perintah Allah SWT untuk mencapai darjat kesempurnaan yang tertinggi, dan ini menunjukkan kemantapan iman mereka. Harus menyerahkan urusan pembahagian sedekah dan sebagainya kepada ulama dan orang soleh untuk dibahagikan atau dibelanjakan pada jalan kebajikan. Harus memberi galakan kepada seseorang untuk melakukan kebajikan dengan memujinya dengan pujian yang tidak keterlaluan dan berterima kasih atas sikapnya. Orang yang paling utama dilakukan ihsan kepada mereka ialah keluarga terdekat jika mereka orang yang berhajat. Jika tidak maka orang yang berhajat lebih utama.

0 comments:

Post a Comment

Site Search